Laporan : Laporan Akhbar PMR 2002
KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
MENGENAI KEPUTUSAN PMR 2002

Ekoran daripada pelaksanaan Penyata Razak (1956) yang mewujudkan Dasar Pelajaran Negara yang ulung, Lembaga Peperiksaan telah memperkenalkan serta mengendalikan peperiksaan 'Lower Certificate of Education (LCE)' pada tahun 1957, di peringkat menengah rendah.

Pada tahun 1960 pula, peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) telah diperkenalkan. Peperiksaan SRP beransur-ansur menggantikan peperiksaan LCE mulai tahun 1978. Pada tahun 1985, peperiksaan SRP digunakan sepenuhnya di seluruh negara.

Pelaksanaan Laporan Kabinet 1979 telah mewujudkan perkembangan sistem pendidikan yang terkini, khususnya Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Ini telah menyebabkan berlakunya penyesuaian dalam sistem peperiksaan untuk memenuhi hasrat dan kehendak kurikulum serta sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara. Maka wujudlah peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 1993 menggantikan peperiksaan SRP. Peperiksaan PMR ialah peperiksaan kebangsaan yang ditadbir secara berpusat pada akhir tiga tahun pertama sekolah menengah. Objektifnya ialah untuk menilai prestasi pembelajaran pada akhir tempoh tersebut.

Tiada konsep lulus atau gagal dalam keputusan PMR. Semua murid yang mengambil peperiksaan ini layak menerima Pernyataan Keputusan dan akan naik ke Tingkatan 4.

Pencapaian dalam mata pelajaran PMR yang diambil dilaporkan seperti berikut:-

Peringkat Takrifnya

Peringkat Takrifnya
A
Cemerlang
B
Kepujian
C
Baik
D
Mencapai Tahap Penguasaan Minimum
E
Tidak Mencapai Tahap Penguasaan Minimum

Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2002 telah diadakan dari 14 Oktober hingga 17 Oktober 2002, di 2,799 pusat peperiksaan. Seramai 391,431 murid Tingkatan Tiga sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mendaftar untuk mengambil peperiksaan tersebut pada tahun ini. Tahun ini merupakan kali kesepuluh PMR dilaksanakan.

Keputusan PMR 2002 dikeluarkan pada hari ini, 30 Disember 2002. Murid-murid boleh mendapatkan keputusan mulai jam 10:00 pagi di sekolah masing-masing. Sementara itu, calon persendirian perseorangan akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang dihantar oleh Jabatan Pendidikan Negeri kepada setiap calon berkenaan.

Pencapaian Keseluruhan PMR Sukacita saya memaklumkan bahawa pencapaian PMR tahun 2002 pada keseluruhannya tidak jauh berbeza berbanding tahun 2001. Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan pencapaian yang ketara bagi dua mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Bagi mata pelajaran teras yang lain, peningkatan dan penurunan pencapaian tidak begitu ketara. Bagi mata pelajaran tambahan pula, tiga mata pelajaran menunjukkan peningkatan yang agak ketara. Dua mata pelajaran lagi menunjukkan penurunan.

Sayugia diingatkan bahawa peningkatan dan penurunan prestasi calon dalam mata-mata pelajaran dari setahun ke setahun adalah ciri yang biasa untuk peperiksaan seperti Penilaian Menengah Rendah. Peperiksaan ini berasaskan rujukan norma (norm-referenced ) dan menguji kohort-kohort murid yang berbeza.

Dari segi kecemerlangan pula, iaitu bilangan calon yang memperoleh SEMUA A dalam semua mata pelajaran yang diambil telah meningkat daripada 13,875 orang murid atau 3.5% pada tahun 2001 kepada 17,994 orang murid atau 4.6% pada tahun ini iaitu penambahan seramai 4,119 murid. Ini merupakan suatu peningkatan yang boleh dibanggakan.

Pencapaian murid yang memberangsangkan khususnya dalam mata-mata pelajaran penting seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Matematik adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris pada tahun yang akan datang ini.

Prestasi Mengikut Mata Pelajaran Peratus pencapaian bilangan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (ABCD) bagi setiap mata pelajaran teras adalah seperti berikut:

Bahasa Melayu: 93.5% (berbanding 91.5%, 2001)

Bahasa Inggeris: 69.9% (berbanding 62.4%, 2001)

Sains: 95.2% (berbanding 95.2%, 2001)

Matematik: 91.3% (berbanding 90.6%, 2001)

Sejarah: 90.7% (berbanding 90.0%, 2001)

Geografi: 94.9% (berbanding 94.7%, 2001)

Pendidikan Islam: - 91.7% (berbanding 91.8%, 2001)

Kemahiran Hidup Bersepadu:

Pilihan 1: 94.4% (berbanding 93.0%, 2001)

Pilihan 2: 97.2% (berbanding 94.7%, 2001)

Pilihan 3: 93.7% (berbanding 90.0%, 2001)

Peratus pencapaian bilangan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (ABCD) bagi setiap mata pelajaran tambahan adalah seperti berikut:

Bahasa Arab: 88.1% (berbanding 85.7%, 2001)

Bahasa Cina: 87.5% (berbanding 82.4%, 2001)

Bahasa Tamil: 70.3% (berbanding 66.4%, 2001)

Bahasa Punjabi: 85.7% (berbanding 86.8%, 2001)

Bahasa Iban: 89.1% (berbanding 91.4%, 2001)

Prestasi Sekolah Sekolah Berasrama Penuh (SBP)

Tiga puluh empat buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) memperoleh pencapaian 100% yang melepasi tahap penguasaan minimum (ABCD) dalam semua mata pelajaran. SBP juga telah menunjukkan pencapaian yang tinggi di peringkat cemerlang (A) dalam semua mata pelajaran. Sekolah Menengah Sains Selangor, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur telah mendahului senarai tersebut. Seramai 107 daripada 121 orang muridnya atau 88.4% memperoleh 'semua A'. Empat buah SBP yang mencatat lebih daripada 80% bilangan muridnya mendapat A dalam semua mata pelajaran adalah seperti berikut:

Sek. Men. Sains Selangor , Kuala Lumpur 88.4%

• Sek. Men. Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu 85.0%

• Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur 84.2%

• Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban 80.3%

Sekolah Menengah Harian

Sebanyak 31 buah sekolah menengah harian memperoleh pencapaian 100% yang melepasi tahap penguasaan minimum (ABCD) dalam semua mata pelajaran. Empat buah sekolah dalam kumpulan ini yang mencatat lebih daripada 50% bilangan muridnya mendapat A dalam semua mata pelajaran ialah:

SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur 71.2%

• SMK Victoria, Kuala Lumpur 61.1% • Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri 52.0%

• SMKA Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu 51.9%

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)

Kesemua sebelas Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mencatat pencapaian 100% yang melepasi tahap penguasaan minimum (ABCD) dalam semua mata pelajaran yang diambil. MRSM yang mencapai lebih daripada 80% bilangan muridnya mendapat A dalam semua mata pelajaran ialah:

• MRSM Yayasan Terengganu, Dungun, Terengganu 83.3%

Sekolah Swasta

Lima buah sekolah swasta mencatatkan prestasi 100% yang melepasi tahap penguasaan minimum (ABCD) dalam semua mata pelajaran yang diambil. Sebuah sekolah swasta yang mencatatkan lebih daripada 80% bilangan muridnya mendapat A dalam semua mata pelajaran ialah:

• Kolej Yayasan Saad, Melaka : 96.4%

Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mengenal pasti untuk setiap negeri, sekolah yang mencatatkan prestasi 100% yang melepasi tahap penguasaan minimum (ABCD) dan lebih daripada 10% bilangan muridnya mendapat A dalam semua mata pelajaran. Senarai sekolah ini diberikan dalam Lampiran C. Jabatan Pendidikan Negeri akan menyampaikan surat penghargaan kepada sekolah-sekolah yang tersenarai ini.

Penutup Pencapaian murid dalam PMR menjadi indikator ke arah mempersiapkan mereka untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di peringkat menengah atas. Murid-murid harus menilai pencapaian mereka dalam PMR untuk membuat keputusan yang tepat dalam pemilihan mata pelajaran yang sesuai bagi diri mereka untuk peperiksaan SPM. Mereka harus memastikan pemilihan kombinasi mata pelajaran menepati keupayaan dan bidang yang diminati bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau menceburi bidang kerjaya yang mereka minati.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah berjaya memperoleh keputusan yang baik. Sesungguhnya ini merupakan hasil kerjasama yang berterusan antara warga pendidik dan masyarakat. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah memainkan peranan masing-masing serta memberi komitmen yang tinggi khususnya pentadbir sekolah, guru-guru, ibu bapa, persatuan ibu bapa dan guru, badan-badan sukarela dan pihak media massa untuk memastikan pendidikan anak-anak kita mencapai kecemerlangan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam melaksanakan Penilaian Menengah Rendah tahun 2002 ini terutamanya warga Lembaga Peperiksaan Malaysia yang telah menyempurnakan semua urusan pengendalian peperiksaan PMR dengan baik serta warga KPM kerana menjayakan majlis ini.

Kementeria Pendidikan Malaysia 30 Disember 2002.